BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
Dengan penuh keimanan, kita tidak menafikan betapa keistimewaan yang Allah SWT berikan kepada wanita memang terlalu banyak. Ini menunjukkan betapa kasihnya Allah kepada kaum Hawa ini. Tidak ada satu pun agama di dunia ini yang memberikan banyak keistimewaan kepada kaum wanita selain daripada agama ISLAM.
Allah SWT sebenarnya sangat kasih dan memuliakan kaum wanita. Segala suruhan dan larangan yang Allah SWT kenakan ke atas kaum wanita tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memastikan keselamatan dirinya dan masyarakat dan bukan untuk menyusahkan mereka. Mari kita lihat pengiktirafan yang diberikan oleh Allah SWT kepada wanita, sama ada secara langsung ataupun tidak.
GELARAN 'ISTERI' DI DALAM AL-QURAN
Perkataan yang Allah SWT gunakan untuk menunjukkan suami atau isteri adalah perkataan yang sama, sedangkan dalam bahasa-bahasa lain, perkataan untuk suami dan perkataan untuk isteri menggunakan dua perkataan yang berbeza. Sebagai contoh yang kita dapat lihat ialah, di dalam bahasa Inggeris, perkataan untuk suami ialah 'husband' manakala perkataan untuk isteri pula ialah 'wife'. Sementara dalam bahasa Perancis pula, perkataan untuk suami ialah 'mari' manakala perkataan 'femme' untuk isteri.
Tetapi di dalam Al-Quran, suami dan isteri tidak disebut dua perkataan yang berbeza iaitu 'zaujuh' dan 'zaujat'. Hanya satu perkataan yang digunakan untuk kedua-duanya iaitu 'zaujuh' yang bermakna 'PASANGAN'. Islam melihat suami dan isteri adalah pasangan, juga pelindung buat yang lain. Mereka dilihat sebagai sepasang, bukan berasingan. sudah tentulah ini bermakna bahawa kaum lelaki di dalam Islam tidak dianggap lebih mulia daripada kaum wanita.
PEMBELAAN RASULULLAH SAW TERHADAP WANITA
Di dalam hadis Rasulullah SAW banyak yang menunjukkan betapa wanita itu dimuliakan di dalam islam. Antaranya:
1. Syurga di bawah telapak kaki ibu. Apakah wanita tidak berasa mulia dengan hadis ini? Mengapa Rasulullah SAW memilih perkataan 'di bawah telapak kaki' dan bukan 'di dalam tangan' atau 'di sisi seorang ibu'? Sudah tentu ini sangat menggambarkan mulianya seorang wanita di dalam Islam. Seorang yang faham tentu akan memandang mulia, menghormati, membela serta berlumba-lumba untuk berkhidmat dan menghambakan diri kepada ibunya.
2. Orang yang paling baik di antara kamu itu ialah yang paling baik kepada isi rumahnya, dan aku ini orang yang paling baik dari antara kamu kepada isi rumahku.
3. Tidak akan memuliakan perempuan-perempuan melainkan orang yang mulia, dan tidak menghina akan perempuan-perempuan melainkan orang yang hina.
4. Bergaullah kamu dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang sopan. Kemudian apabila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah SWT menjadikan padanya kebaikan yang banyak.
5. Janganlah seorang mukmin lelaki membenci kepada seorang (isterinya) yang mukminah, kerana walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang disukai
BAHAGIAN TUBUH WANITA YANG DIANUGERAHKAN NAMA YANG MULIA
Dalam tubuh wanita, ada satu bahagian yang diberi nama yang begitu mulia iaitu RAHIM. Perkataan ini diambil daripada nama Allah SWT yang bermaksud 'Maha Penyayang'. Sudah tentulah Allah SWT tidak akan memberikan nama yang semulia ini kepada sesuatu yang hina di sisi_Nya. Sudah tentu Allah SWT akan memilih sesuatu yang mulia, juga untuk dianugerahkan nama yang begitu mulia. Allah SWT tidak memberikan nama yang semulia ini kepada bahagian tubuh lelaki tetapi Dia memberikannya kepada bahagian tubuh wanita. Rahim inilah yang merupakan penghubung kepada makhluk. Di dalam rahimlah wanita menjaga ciptaan Allah SWT dan memberi makan kepada apa yang Allah SWT telah ciptakan.
Kaum wanita sepatutnya merasa malu kepada Allah SWT kerana memberi penghargaan yang begitu tinggi kepada mereka. Anugerah rahim kepada wanita sebenarnya sudah cukup untuk membuktikan betapa mulianya wanita di sisi Allah SWT
No comments:
Post a Comment