CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
islam 4 all

Monday 25 June 2012

DALAM MERAIH REDHA-NYA

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM


“Nisa’!, Nisa’ !..Nisa’ dengar tak apa yang  Rina cakap ni?..” Tegur Khairina saat melihat Nisa’ diam tidak menjawab.
Sorry, Rina cakap apa tadi?” Soalan Khairina dibalas kembali dengan soalan.
“Nisa’ ni macam tak suka je dengar cerita Rina . Setiap kali Rina cerita, Nisa’ mesti senyap je. Kalau tak selalunya menyampuk la juga.” Ujar Khairina lebih kepada luahan.
‘Ya Allah, ampunkan hamba. Dalam pada hamba berusaha untuk menjaga hatinya, rupanya terkesan juga perubahan hamba ini di matanya. Sementelah dia sudah perasan mengenainya, lebih baik jika hamba berterus terang. Ya Allah, semoga Kau bantulah hamba Mu ini untuk menegurnya dengan cara yang terbaik tanpa mengguris hatinya, dan tidak juga menjejaskan ukhuwah antara kami.’ Mohon Nisa’ setulus hatinya.
Diam Nisa’ membuatkan Khairina serba salah.
“Nisa’, sebenarnya Nisa’ tak suka ke Rina luah semua ni dekat Nisa’ ? Atau Nisa’ ada tersinggung dengan kata-kata Rina ?” Khairina mula membuat kesimpulan.
“Eh, bukan macam tu. Nisa’ suka sangat bila Rina percayakan Nisa’ dan sudi kongsi cerita suka duka Rina dengan Nisa’. Sebab Nisa’ nak jadi kawan yang sentiasa ada di sisi Rina, bukan sahaja saat Rina ketawa gembira, tapi juga disaat Rina menangis berduka.” Kata-kata Nisa’ yang tulus itu membuatkan Khairina terharu.
“Dan kalau boleh Nisa’ nak jadi kawan Rina yang paling… baik.” Sambung Nisa’ memulakan tegurannya dengan intro yang berkias.
“Nisa’ memang sahabat Rina yang paling baik.” Ikhlas pujian itu lahir dari hati Khairina.
“Tak. Nisa’ belum jadi teman Rina yang cukup baik. Nabi Muhammad SAW pernah ditanya oleh seorang sahabat, “Siapakah yang menjadi sahabat yang paling baik bagi kami?” Dan tahu tak apa jawapan yang Rasulullah bagi ?...Baginda jawab,“ Seseorang yang apabila kamu memandangnya kamu akan teringat akan Allah SWT…apabila kamu dengari percakapannya,pengetahuan kamu tentang Islam bertambah…apabila kamu melihat kelakuannya, kamu teringat kepada kehidupan akhirat.” Setiap kali Nisa’ teringat ayat tu Nisa’ tengok balik diri Nisa’. Jauh betul dengan apa yang dikatakan oleh Rasulullah.” Ujar Nisa’ merendah diri. Dilihatnya Khairina berminat untuk mendengarnya.
“Kenapa Nisa’ cakap macam tu.. Sejak kenal Nisa’ beberapa tahun ni, Rina dah banyak berubah. Rina selalu cuba perbaiki diri Rina agar boleh sama dengan Nisa’.” Akui Khairina.
“Maaf andai kata-kata Nisa’ ni bakal mengguris hati Rina,Nisa’ tak bermaksud macam tu. Nisa’ juga bukan nak mengatakan diri Nisa’ baik sangat, lebih-lebih lagi sempurna, kerana tiada sesiapa yang sempurna melainkan Yang Maha Esa. Tapi Nisa’ mengharapkan perbuatan Nisa’ yang mana baik dapat diikuti oleh yang lain lebih-lebih lagi sahabat Nisa’ sendiri. Nisa’ cuba buat yang terbaik agar Nisa’ mendapat tempat yang istimewa di sisi Allah, begitu juga harapan Nisa’ terhadap Rina.” Nisa’ berdehem kecil sebelum menyambung.
“ Nisa’ berdiam sewaktu Rina bercerita tak bermaksud Nisa’ tidak kisah dengan apa yang Rina lakukan, tidak juga kerana Nisa’ marah pada Rina. Sebenarnya setiap kali Rina ceritakan perihal pakwe, perihal kisah cinta Rina, Nisa’ rasa bertanggungjawab !... Bertanggungjawab untuk tegur dan betulkan Rina daripada kesalahan yang Rina lakukan tu.Nisa’ nak sangat nasihat Rina waktu tu. Tapi Nisa’ tak berani, Nisa’ takut bakal menyebabkan Rina tersinggung, jadi Nisa’ ambil keputusan untuk berdiam sehinggalah Nisa’ dapat kumpul semangat tu. Tapi makin hari, Nisa’ rasa bersalah biarkan Rina hanyut dalam keasyikan cinta dunia. Tu yang macam Rina perasan, dulu ada juga Nisa’ menyampuk sikit-sikit tapi sekarang Nisa’ mula senyap je. Dan Alhamdulillah hari ini, atas bantuan Ilahi Nisa’ dapat sedikit kekuatan untuk berbincang dengan Rina mengenai hal ini.” Nisa’ berjeda seketika mengumpul semangat untuk menyambung bicara. Khairina pula kelihatan tenang sahaja, namun dalam hati siapa yang tahu gelora yang bertandang.
“Nisa’ sebenarnya tidak suka bila kawan-kawan Nisa’ ber‘couple’. Bukan tak suka  mereka,tapi tak suka apa yang mereka lakukan tu. Tahu tak, bila seorang manusia ber‘couple’ dan bercinta dengan yang tak halal, syaitan laknatullah di sekeliling mereka semuanya melonjak-lonjak,bersorak gembira kerana berjaya menghasut anak-anak Adam untuk melanggar satu daripada syariat Allah.
Kalau diikutkan semua mesti dah tau, dah banyak kali dengar, dan dah selalu ditekankan pasal ‘couple’ kan… Rina pun mesti dah tahu yang ‘couple’ tu diharamkan oleh Allah SWT.. jadi kenapa mesti Rina buat juga?.. “Anak mata Khairina ditenungnya sebelum menyambung.
“Bukankah Allah ada berfirman dalam surah Al-Israa’ ayat 32 :
“Dan janganlah kamu mendekati zina”
Dalam ayat ini Allah sudah melarang kita mendekati zina. Tambahan pula, Allah menggunakan kalimah ‘walaa taqrabuu’ (jangan hampiri), bukannya ‘walaa ta’maluu’ (jangan lakukan). Ini jelas ,lagi terang menunjukkan bahawa mendekatinya sahaja sudah haram, inikan pula melakukannya. Jadi bercinta sebelum kahwin dan ber‘couple’ adalah mendekati zina, dan menghampiri zina hukumnya HARAM.” Nisa’ berhenti lagi.
Khairina kelihatan menundukkan wajahnya. Nisa’ berasa serba-salah untuk meneruskan kata, namun demi kebaikan sahabatnya yang tersayang dia sanggup berkorban. Biarlah dia dimarahi Khairina andai itu dapat memberi sedikit kesedaran kepada sahabatnya itu. Namun dia tahu, hati seorang wanita seperti Khairina, amat lembut dan pasti mudah menerima teguran.
“Nisa’ minta maaf andai kata-kata Nisa’ kedengaran kasar pada Rina. Nisa’  harap Rina dapat terima teguran ni dengan hati terbuka. Anggaplah Nisa’ sebagai medium Allah menegur Rina. Nisa’ tahu perasaan suka dan minat itu semua fitrah. Kita memang tidak dapat menolak perasaan tu dari bertapak dalam hati kita. Nisa’ sendiri pernah alaminya. Namun kita perlulah pandai mengawalnya, kerana itu semua hanyalah bisikan kata-kata manis syaitan laknatullah yang ingin menjerat anak-anak Adam. Lagipula tidak semestinya kita akan berkahwin dengan orang yang kita cintai sekarang inikan?... Ramai orang berusaha keras mencari jodoh biarpun sedar hakikat jodoh mereka sudah ditentukan..Percayalah, Allah sudah menetapkan pemilik tulang rusuk kita ini sejak di Luh Mahfuz lagi. Tugas kita sekarang hanyalah untuk berusaha menjadi yang terbaik,agar kita juga mendapat yang terbaik..” Tersentuh hati Khairina mendengarnya. Namun dia tetap tidak memberikan sebarang respons.
“Mungkin Rina pelik tengok Nisa’ ni emosi je tiba-tiba. Nisa’ sebenarnya dah pendam benda ni lama..Nisa’ sayang sangat kawan-kawan Nisa’,Nisa’ sayang sangat dengan Rina,Nisa’ tak nak Rina leka buat dosa. Nisa’ nak kita semua sedar. Sebelum kita kejar cinta manusia, Nisa’ nak kita kejarlah dulu cinta Ilahi…Layakkah kita menagih cinta insan seandainya cinta Tuhan belum tergapai? Sedangkan cinta Allah adalah segalanya… Hamparkanlah cinta kepada Yang Selayaknya..Jadi, jika kita mengharapkan cinta sejati, dambalah kasih Ilahi terlebih dahulu, itulah cinta hakiki.. tepuk dada, tanya iman, tanya akal fikiran, tanya hati, tanya diri sendiri….Ketahuilah, Nisa’ sayang sangat dengan Rina.Semuanya untuk  Rina juga.“ Lega Nisa’ selepas dapat berterus terang dengan Khairina, dapat meluahkan apa yang terpendam.
Khairina masih dalam keadaan seperti tadi. Menunduk dan diam. Tanpa Nisa’ sedari beberapa titis mutiara jernih menuruni pipi Khairina.
 ‘Mungkin Rina perlukan masa dan ruang untuk berfikir’ Monolog hati Nisa’
Nisa’ membawa langkah ke surau sekolah. Memberikan ruang untuk Khairina sendirian di taman sekolah, menghadam maksud kata-katanya tadi.
-------------------------------------------------------------<@-------------------------------------------------------------
Sudah dua hari mereka tidak bertegur sapa, tidak bertukar senyum mesra,  tidak berbalas gurauan senda. Saat mata bertemu mata hanya diam menyapa telinga. Nisa’ serba salah, Khairina sebelum ini merupakan seorang yang ceria dan senang tersenyum.. Namun kini senyumannya tiada untuk dirinya. Teringat pula pada sabda Rasulullah, bahawa berdosa apabila dua orang yang bersaudara tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari. Kini sudah hari ketiga. Dia mesti lakukan sesuatu. Kebetulan mereka semua sedang menunggu ketibaan Ketua Guru Disiplin bagi mengetuai mesyuarat bulanan pengawas pada petang itu.
Nisa’ bergerak menghampiri Khairina di sudut belakang dewan, sendirian.
“Assalamualaikum Rina..boleh join?” tegur Nisa’ dengan ceria.
“Hmm, duduklah Nisa’.. Rina seorang je dekat sini.” Balas Khairina namun kedengaran agak hambar.
“Rina, Nisa’ minta maaf kalau Rina terasa hati dengan kata-kata Nisa’ hari tu. Nisa’ lagi suka kalau Rina luahkan marah Rina semua, daripada Rina senyap je. Nisa’ nak dengar suara Rina.” Sayu suara Nisa’ mengharapkan kerjasama daripada sahabatnya itu.
“Nisa’ janganlah macam ni. Tak payah minta maaf. Rina sebenarnya malu dengan Nisa’. Bukannya Rina marah. Rina rasa Rina yang bukan kawan terbaik untuk Nisa’.” Khairina pula terpengaruh dengan mood Nisa’ yang sedih tadi.
“Lah salah faham je ke.. Hmm, Nisa’ happy bila Rina tak marah. Buat apa Rina nak malu. Memang itulah tugas kita sebagai sahabat. Kena saling tegur-menegur, ingat-mengingat untuk kebaikan teman kita. Bersama-sama mencari redha Nya. Itulah sahabat sejati”  Sungguh mendalam kata-kata Nisa’, menghantar rasa terharu ke dalam hati Khairina. Kedua-duanya sudah boleh tersenyum semula.

Manusia sering menangis saat kehilangan yang tersayang…
Manusia sering menangis saat ditinggalkan si pujaan…
Namun bersedihkah mereka… merintihkah mereka… 
andai satu hari nanti Allah berpaling dan meninggalkan kita?...
Ironinya, manusia sering alpa dan leka dari cinta Sang Pencipta… ^_^

“Rina dah minta putus dengan pakwe Rina. Dia marah tapi Rina tak kesah. Rina tak takut tinggalkan dia sebab Rina lagi takut kalau Allah tinggalkan Rina.” Teringat dia akan nota yang dijumpainya pagi tadi.Pasti Nisa’ yang meninggalkannya di atas mejanya.

“Rina dah buat keputusan yang tepat. InsyaAllah, Allah dah tetapkan seseorang yang 
terbaik untuk Rina. Yang mampu menjaga dan melindungi Rina sebaiknya bila tiba masanya nanti.” Ujar Nisa’ tulus.
“Hmm, tak pe dekat universiti nanti mesti lagi ramai kan calon suami yang hensem-hensem dan lagi banyak pilihan…hehe” Sela Khairina cuba mencetuskan suasana ceria.
“Owh, ada udang di sebalik mee eh..haha.. dan yang pasti kena cari yang soleh.” Sakat Nisa’ pula sambil mencubit pipi Khairina.
Mengaduh kecil Khairina, walaupun tidaklah kuat mana cubitan yang dihadiahkan oleh Nisa’ tadi. Saja ingin bergurau dengan Nisa’. ‘Yelah bukan selalu pun’.
“Nisa’!, Khairina ! kamu buat buat apa dekat belakang sana tu…”Tegur satu suara.
Serentak keduanya berpaling kearah datangnya suara tadi.
Serta merta darah merah dirasakan laju mengalir naik ke muka mereka berdua. Satu dewan sedang memerhatikan mereka. Dan gerangan pemilik suara yang memanggil mereka sebentar tadi ialah Cikgu Rifqi, Ketua Guru Disiplin dengan menggunakan…. Mikrofon !! Patutlah semua memandang ke arah mereka.
“Tak...tak...takde apa-apa cikgu.” Tersekat-sekat Nisa’ menjawab mewakili mereka berdua sambil menunduk, menahan malu.
“Kalau tiada apa-apa mari duduk dekat depan.”
“Hah !! Duduk dekat depan ! Kenapa cikgu ?”  Soal Khairina gelabah.
“Lah, kamu berduakan ahli Majlis Tertinggi badan pengawas. Memang duduk dekat depankan dengan yang lain.”
“Owh, hehe…lupa cikgu.” Tersengih Khairina menjawab.
“Macam-macamlah kamu ni Rina. Dah-dah, kamu berdua cepat duduk dekat depan. Meeting dah nak mula.” Tergeleng-geleng Cikgu Rifqi.
“Ish, Rina ni malu Nisa’. Dahla tadi tak perasan cikgu dah sampai. Siap main cubit-cubit lagi. Lepas tu semua orang pandang kita. Sekarang kena duduk depan dia orang pula.. Malulah Nisa’…”Bisik Nisa’. Merah padam mukanya menahan malu.
“Ala, tak payah malu-malu… Buat tak tahu je.” Selamba Khairina membalas.
Terjegil mata bulat Nisa’ mendengarnya. Bertambah bulat lagi mata Nisa’ apabila melihat simbol ‘peace’ yang dibuat Khairina. Belum sempat tangannya mendarat di bahu Khairina tiba-tiba mereka ditegur lagi.
“Lah, tak gerak-gerak lagi… Nak saya sediakan karpet merah ke baru nak gerak ?” Sindir Cikgu Rifqi, sambil menahan senyum dengan telatah keduanya.
“Baik, baik cikgu..” Balas Khairina menyengih, sambil laju mengikuti langkah Nisa’ yang sudah menonong ke hadapan pabila ditegur tadi.
---------------------------------------------------------<@-----------------------------------------------------------------
“Nisa’, kenapa Nisa’ tak suka cakap dengan lelaki?” Soal Khairina lurus.
“Rina, Nisa bukannya tak suka cakap dengan lelaki, tapi lelaki yang takut nak bercakap dengan Nisa’.” Balas Nisa’ bergurau.
“Nisa’ ni main-main pula”
“Sorry-sorry, gurau je…Hmm, Nisa’ cakap juga dengan lelaki. Nisa’ selalu juga cakap-cakap dengan pengawas lelaki pasal pengawas. Selalu juga berborak dengan pelajar lelaki kelas kita. Jadi dekat mana yang Rina nampak Nisa’ tak suka cakap dengan lelaki?” Soal Nisa’.
“Memang Nisa’ cakap, tapi macam tak berapa mesra sangat. Nisa’ cakap pun bila ada orang tanya, atau mulakan perbualan dengan Nisa’. Kalau tak, diam jelah.”Ujar khairina lembut.
“Owh, pasal tu ke.Terus-terang Nisa’ memang boleh je berborak ke berbincang dengan  lelaki, cuma kurang selesa sikit lebih-lebih lagi kalau berdua sahaja. Nisa’ boleh je berkawan dengan lelaki, cuma tak nak lah sampai berkawan rapat.. Sebenarnya dalam Islam pun, lelaki dan perempuan tidak dibenarkan bergaul terlalu rapat sehingga menjadi teman karib. Lelaki tidak boleh menghampiri perempuan dan perempuan tidak boleh menghampiri lelaki sesuka hati tanpa sebab.
Namun, Islam membenarkan apabila ada keperluan dan tujuan yang benar-benar perlu. Misalnya apabila ada tugasan berkumpulan dan perbicangan yang perlu melibatkan lelaki dan perempuan. Untuk berbual-bual kosong dan bergurau senda tanpa tujuan adalah tidak dibenarkan. Apatah lagi untuk saling meluahkan masalah dan perasaan. Jadi cukuplah Nisa’ jadikan kaum sejenis sebagai teman karib dan tempat berbincang masalah. ” Sehalus mungkin Nisa’ cuba menjawab pertanyaan dari Khairina.
“Dan cukuplah apabila Rina sudi jadi kawan karib Nisa’. Nisa’ tak perlukan yang lain mahupun lelaki untuk menjadi teman rapat Nisa’ lagi.” Kata-kata Nisa’ berjaya membuatkan kolam air mata Khairina bergenang.
“Terima kasih sebab jadi kawan Rina, Terima kasih kerana banyak bantu Rina. Semoga persahabatan ini kekal abadi selamanya.”
“Ukhuwah itu indah bila bertemu dan berpisah kerana Allah.” Senyuman manis, Nisa’ kuntumkan buat Khairina.
Mereka berpelukan. Menangis, mensyukuri nikmat yang diberikan Tuhan.
‘Alhamdulillah, Ya Allah. Terima kasih kerana kau kurniakan kepadaku seorang sahabat yang sungguh mulia. Si pemilik nama Khairun Nisa’ ini sungguh baik. Cantik namanya secantik akhlaknya. Dia berusaha membantuku menebalkan imanku yang senipis bawang. Dan dengan iman itu membawaku mengenal Cinta-Mu. Cinta-Mu itulah yang menjadi tali penghubung kepada ukhuwah suci ini. Ya Allah Kau berkatilah persahabatan ini. Persahabatan demi merebut cinta-Mu, jalinan yang terbina demi meraih redha-Mu dan ukhuwah suci dalam usaha meraih tempat istimewa di sisi-Mu. Sesungguhnya kami hanya insan yang tidak berdaya, dan amat lemah tanpa bantuan-Mu, Ya Rahman, Ya Rahim.’ Tulus doa dipohon, dipanjatkan kepada Tuhan Yang Esa.
Hidup ini akan sunyi tanpa kehadiran sahabat di sisi. Jadilah sahabat yang hadirnya sentiasa dinanti dan perginya dirindui, kerana mencari sahabat yang setia itu ibarat mencari sebutir permata disebalik timbunan kaca. Hargailah kesetiaan mereka dan bersamalah berusaha dalam meraih Redha-Nya..Ukhwah fi sabilillah !
TAMAT
-------------------------------------------------------------<@-----------------------------------------------------------
Sebuah karya picisan hasil nukilan seorang teman  buat sahabat-sahabat yang dikasihi.

* ku kongsikan sebuah cerpen sahabatku ke dalam blog ini bagi tujuan menyebarkannya...terima kasih sahabatku, Nurhani Khaisah...