CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
islam 4 all

Friday 20 January 2012

HALAKAH CINTA KELUARGA


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
ku menyedari perkahwinan ini satu wasilah untuk peningkatan hidup. bermatlamat untuk menjadi insan yang lebih baik di sisi Allah SWT. suamiku sering mengingatkan bahawa bahtera rumah tangga yang terbina ini mestilah memberi manfaat untuk agama, bangsa, masyarakat dan negara. justeru itu rumahku sering dikunjungi tetamu dan setiap kali mereka datang aku berusaha menyediakan hidangan terbaik. itu yang termampu untuk meraikan mereka.

dalam meraikan tetamu, suamiku jauh lebih hebat. tetamu disambut penuh mesra. maklumlah, datangnya membawa rahmat dan perginya pula membawa dosa-dosa kecil kita. dia menyiapkan bilik khas untuk tetamu di mana segala kelengkapan di dalamnya walaupun sederhana selengkap mungkin disediakan. dia berpesan kepadaku supaya mengajak siapa jua tetamu yang berkunjung supaya bermalam di rumah. apabila ada tetamu yang datang, dia akan menambah masakanku dengan lauk-pauk sampingannya yang lain.

jika ada di kalangan teman-temanku yang datang dari jauh dengan menaiki bas, dia akan mengajakku menjemput mereka di perhentian bas seawal jam 4.45 pagi. dia berpesan kepadaku supaya melayani mereka sebaik-baiknya dan memastikan semua keperluan tetamu telah siap tersedia.
~~~~~~~~~~


CINTA PALESTIN
"nanti, kalau kita ada ulama (anak), abang tak kisah dia nak merantau ke mana sahaja untuk agama. kalau dia memilih syahid di Palestin pun abang redha. sayang bagaimana?" suamiku bertanya dalam sebuah halakah antara kami berdua. aku terdiam barang seketika. fitrah wanitaku memang dapat merasai sukarnya berenggang dengan bakal anak-anakku nanti.

jauh di sudut hati, aku mengagumi suamiku yang cuba menyediakan mindaku dengan fikrah bakal ibu seorang pejuang. impian dan cita-citanya tulus untuk agama. aku tak dapat menafikan beratnya hatiku untuk menjawab soalan itu. lidahku jadi kelu. air mataku menitis apabila mengenangkan kerdilnya penyerahan jiwaku berbanding al-khansa yang menangis ketika anak keempatnya syahid. apabila ditanya, dia berkata, "aku sedih kerana aku tiada lagi anak untuk dihantar ke medan jihad setelah keempat-empat anak lelakiku syahid." aku terfikir, kalau aku tak mengubah kedudukan hatiku tika itu aku pasti malu dengan al-khansa' di akhirat nanti.

"ya bang, kematian apa lagi yang lebih baik daripada syahid? manusia akan mati sekali sahaja. beruntunglah orang yang dipilih mati syahid." ujarku setelah jiwaku dapat dilunakkan. suamiku tersenyum penuh makna


HALAKAH MEMBUKA LEMBARAN KEKUATAN,
BUAT HATI YANG SENTIASA
PERLUKAN PERINGATAN

Saturday 7 January 2012

DIARI CINTA PENGANTIN BARU


PERJANJIAN YANG TEGUH
detik demi detik, terlalu pantas masa berlalu. ditinggal jauh hari-hari semalam dan selamanya takkan berulang. walau masih rasa tak bersedia, namun tak upaya mengundur masa. tiba jua hari bahagia. hari pernikahanku. debaranku kuat terasa. masakan tidak, aku akan menjalani kehidupan baru bersamanya, insan yang sangat asing bagiku namun bakal menjadi insan yang paling dekat. aku hanya punyai keyakinan terhadap agamanya.

saat diijabkabulkan, itulah kali pertama aku dan dia saling mendengar suara. bergetar seluruh perasaan. tak dapat digambarkan. mata sesekali sudah berani mencuri pandang. sekilas cuma. tidak lebih daripada itu. malu. masjid itu menjadi saksi terucapnya lafaz keramat yang mengikat hubungan suami isteri antara kami.

" hamba terima nikahnya dengan mas kahwin RM84 tunai."

lafaz itu sungguh luar biasa. sebaik sahaja ia dilafazkan, automatik hatiku diselubungi rasa cinta dan ia kian bergelora, yang tak dapat ku gambarkan dengan kata-kata. mungkin inilah permulaan barakah yang Allah SWT janjikan buat ikatan yang terpelihara. ajaran islam itu sangat indah dan apabila dipraktikkan, melahirkan sesuatu yang indah pula! majlis akad itu diteruskan dengan majlis walimah yang sederhana, memenuhi tuntutan sunnah Rasulullah SAW. ku kecapi nikmat bahagia.


INDAHNYA MALU DI MALAM PERTAMA
usai solat sunat pengantin baru bersama-sama, aku menyalaminya. bergetar hebat seluruh jiwa saat pertama kali dahiku dikucup suami. indahnya! pastinya takkan ku nikmati getaran seindah ini andai telah terbiasa bersentuhan sebelum bernikah lagi. indahnya syariat Tuhan yang mengatur kehidupan.

"subhanallah! masya-Allah! ini amanah abang!" ungkap suamiku memberi reaksi yang membiaskan sikap sangat bertanggungjawabnya terhadap amanah yang kini digalas, sekaligus mengingatkanku kepada pesanan Rasulullah SAW kepada kaum suami dalam haji baginda yang terakhir bermaksud:

" bertakwalah kalian kepada Allah dalam mengurus dua orang yang lemah, wanita dan khadam."

perkataan 'amanah' yang diungkapkan membuatkan aku berasa selamat dalam perlindungannya.
berada dihadapannya, insan asing yang kini bernama suami, aku berasa malu dan amat janggal sekali. segala gerak-geri yang perlu ku lakukan semuanya terasa kekok dan serba tak kena. nak membuka tudung kepala pun jadi teragak-agak namun ku kuatkan hati untuk tampil secantiknya. mungkin menyedari kegusaran diri ini dia menghiburkan hatiku dengan panggilan 'sayang' dan kata-kata manis.

"subhanallah, cantik isteri abang. abang cuma harapkan yang beragama. tak sangka Allah beri kedua-duanya, cantik dan beragama."


IMPIAN
suamiku,
terlafaz lancar sebuah akad,
setulus hati mahar diberi,
terangkat sudah segala penyekat,
diriku kini kau miliki.

dalam keterharuan,
air mata ibuku berguguran,
ayahku sebak melepaskan,
puterinya kini kau jagakan.

suamiku,
jika diriku diterima kerana kelebihan,
kau kan kecewa bila terlihat kekurangan,
jika diriku diterima kerana kecantikan,
kau kan bosan bila ia beransur hilang.

aduhai suamiku,
jelaskanlah niat dan matlamat,
menerimaku kerana agama,
baru hidup beroleh berkat,
bahagia hingga ke syurga.

ketahuilah suamiku,
kaulah pemilik cintaku,
setelah Allah dan Rasul, 
suluhkanlah buatku,
jalan menuju Yang Satu.

suamiku,
hadiah mahal terbilang,
bahtera penyelamat yang utuh,
gelombang dan karang,
tak mampu meruntuh.

suamiku,
kita dua insan berbeza,
cita dan cinta yang sama,
jadilah dirimu sebenarnya,
terimalah diriku seadanya.

suamiku,
asam garam rumah tangga,
khilaf dan salah pasti ada,
sama-samalah berlapang dada,
pemula maaf paling mulia.

suamiku,
menang bukan bererti benar,
kalah bukan bererti salah,
dalam berdebat, hormat memagar,
tawadukmu budi terindah.

suamiku,
berjanjilah padaku,
dengan kemuliaan dirimu,
kenalkan aku dan generasiku
pada kemuliaan Penciptamu.



MENGIKAT JANJI


SAJAK BUAT BAKAL SUAMIKU
sekiranya,
kita cinta kepada manusia,
tak semestinya manusia cinta kepada kita,
tetapi sekiranya,
kita cinta kepada Allah,
nescaya cinta Allah tiada penghujungnya.

sekiranya,
kita cinta kepada manusia,
kita akan cemburu kepada orang yang 
mencintai orang yang kita cintai.
tetapi sekiranya,
kita cinta kepada Allah,
kita akan turut mencintai orang yang
melabuhkan cintanya kepada Allah juga.

Ya Allah,
andainya dia adalah jodoh
yang ditetapkan oleh-Mu kepadaku,
maka,
campakkanlah ke dalam hatiku,
cinta kepadanya adalah kerana-Mu,
dan campakkanlah ke dalam hatinya,
cinta kepadaku adalah kerana-Mu.
namun,
andainya dia bukanlah jodoh yang
ditetapkan oleh-Mu kepadaku,
berikanlah aku kekuatan agar pasrah
dalam mengharungi ujian, 
yang Kau berikan kepadaku.
~~~~~~~~~~

JANJI
tarikh keramat itu,
mengikat sebuah janji,
walau tak pernah bertemu,
walau tak pernah mengenali.

kerana yakinkan agamaku,
kau melangkah datang,
kerana yakinkan agamamu,
janji ini kuserahkan.

ku tertunduk malu-maluan,
kau tersipu dalam senyuman,
dua keluarga duduk berhadapan,
merancang sebuah penyusunan.

hari-hari pertunangan melewati,
Bumi Kenyalang kau redahi,
Bumi Damsyiq ku jejaki,
memburu ilmu demi reda Ilahi.

terpisah jauh dua hati,
lautan dan benua merentangi,
tak ternoda ikatan dek murka Ilahi,
mempertahankan kesucian hakiki.

masa terus memintas kita,
kau berjuang di dunia kerjaya,
diriku berjuang di medan Sarjana,
sama bernaung di ibu kota,
namun syariat tetap terpelihara.

Ya Allah...
kuatkan kami bermujahadah,
mendamba cinta-Mu yang terindah,
cinta manusia hanyalah wasilah,
menagih rahmat dan maghfirah.

Ya Allah...
jangan biarkan ikatan kami dicemari,
dengan maksiat nan keji,
permudahkanlah urusan kami,
memeterai sebuah janji.

 

MENGIKAT JANJI PERTUNANGAN TAK MENGHALALKAN APA-APA.
IA BUKAN TIKET KEBEBASAN UNTUK BERDUA-DUAAN.
AKU DAN DIRIMU TETAP MASIH BUKAN MAHRAM.