CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
islam 4 all

Saturday, 7 January 2012

DIARI CINTA PENGANTIN BARU


PERJANJIAN YANG TEGUH
detik demi detik, terlalu pantas masa berlalu. ditinggal jauh hari-hari semalam dan selamanya takkan berulang. walau masih rasa tak bersedia, namun tak upaya mengundur masa. tiba jua hari bahagia. hari pernikahanku. debaranku kuat terasa. masakan tidak, aku akan menjalani kehidupan baru bersamanya, insan yang sangat asing bagiku namun bakal menjadi insan yang paling dekat. aku hanya punyai keyakinan terhadap agamanya.

saat diijabkabulkan, itulah kali pertama aku dan dia saling mendengar suara. bergetar seluruh perasaan. tak dapat digambarkan. mata sesekali sudah berani mencuri pandang. sekilas cuma. tidak lebih daripada itu. malu. masjid itu menjadi saksi terucapnya lafaz keramat yang mengikat hubungan suami isteri antara kami.

" hamba terima nikahnya dengan mas kahwin RM84 tunai."

lafaz itu sungguh luar biasa. sebaik sahaja ia dilafazkan, automatik hatiku diselubungi rasa cinta dan ia kian bergelora, yang tak dapat ku gambarkan dengan kata-kata. mungkin inilah permulaan barakah yang Allah SWT janjikan buat ikatan yang terpelihara. ajaran islam itu sangat indah dan apabila dipraktikkan, melahirkan sesuatu yang indah pula! majlis akad itu diteruskan dengan majlis walimah yang sederhana, memenuhi tuntutan sunnah Rasulullah SAW. ku kecapi nikmat bahagia.


INDAHNYA MALU DI MALAM PERTAMA
usai solat sunat pengantin baru bersama-sama, aku menyalaminya. bergetar hebat seluruh jiwa saat pertama kali dahiku dikucup suami. indahnya! pastinya takkan ku nikmati getaran seindah ini andai telah terbiasa bersentuhan sebelum bernikah lagi. indahnya syariat Tuhan yang mengatur kehidupan.

"subhanallah! masya-Allah! ini amanah abang!" ungkap suamiku memberi reaksi yang membiaskan sikap sangat bertanggungjawabnya terhadap amanah yang kini digalas, sekaligus mengingatkanku kepada pesanan Rasulullah SAW kepada kaum suami dalam haji baginda yang terakhir bermaksud:

" bertakwalah kalian kepada Allah dalam mengurus dua orang yang lemah, wanita dan khadam."

perkataan 'amanah' yang diungkapkan membuatkan aku berasa selamat dalam perlindungannya.
berada dihadapannya, insan asing yang kini bernama suami, aku berasa malu dan amat janggal sekali. segala gerak-geri yang perlu ku lakukan semuanya terasa kekok dan serba tak kena. nak membuka tudung kepala pun jadi teragak-agak namun ku kuatkan hati untuk tampil secantiknya. mungkin menyedari kegusaran diri ini dia menghiburkan hatiku dengan panggilan 'sayang' dan kata-kata manis.

"subhanallah, cantik isteri abang. abang cuma harapkan yang beragama. tak sangka Allah beri kedua-duanya, cantik dan beragama."


IMPIAN
suamiku,
terlafaz lancar sebuah akad,
setulus hati mahar diberi,
terangkat sudah segala penyekat,
diriku kini kau miliki.

dalam keterharuan,
air mata ibuku berguguran,
ayahku sebak melepaskan,
puterinya kini kau jagakan.

suamiku,
jika diriku diterima kerana kelebihan,
kau kan kecewa bila terlihat kekurangan,
jika diriku diterima kerana kecantikan,
kau kan bosan bila ia beransur hilang.

aduhai suamiku,
jelaskanlah niat dan matlamat,
menerimaku kerana agama,
baru hidup beroleh berkat,
bahagia hingga ke syurga.

ketahuilah suamiku,
kaulah pemilik cintaku,
setelah Allah dan Rasul, 
suluhkanlah buatku,
jalan menuju Yang Satu.

suamiku,
hadiah mahal terbilang,
bahtera penyelamat yang utuh,
gelombang dan karang,
tak mampu meruntuh.

suamiku,
kita dua insan berbeza,
cita dan cinta yang sama,
jadilah dirimu sebenarnya,
terimalah diriku seadanya.

suamiku,
asam garam rumah tangga,
khilaf dan salah pasti ada,
sama-samalah berlapang dada,
pemula maaf paling mulia.

suamiku,
menang bukan bererti benar,
kalah bukan bererti salah,
dalam berdebat, hormat memagar,
tawadukmu budi terindah.

suamiku,
berjanjilah padaku,
dengan kemuliaan dirimu,
kenalkan aku dan generasiku
pada kemuliaan Penciptamu.



No comments:

Post a Comment