CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
islam 4 all

Sunday 27 January 2013

DO'A AGAR TIDAK RAGU DALAM MEMILIH PASANGAN

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM


Ya Allah, Ya Rabbi..
Pemilik langit dan bumi ini,
Engkaulah penguasa alam semesta ini,
Daku Lemah tanpamu Ya Allah,
Daku adalah makhluk yg lemah tanpa pertolonganMu..

Ya Rahman, Ya Rahim..
Hamba ingin mendapatkan jodoh yg terbaik Ya Allah,
Hamba tidak menuntut kesempurnaan..
Hamba hanya ingin pasangan yg mampu mendekatkan diri Hamba kepadaMu..
Hamba ingin mendapatkan pasangan yang mampu agar lebih mencintaiMu..

Ya Allah, Ya Muhaimmin...
Hamba yakin pilihanMu adalah pilihan yang terbaik..
Usirlah keraguan yang terang-terangnya datang dari syaitan..
Yang terang-terangnya hanya mahu meragukanku..

Ya Allah, Ya Illahi..
Andai memang dia baik untukku,
maka satukanlah aku dengannya,
Lembutkanlah hatinya untuk menerimaku seadanya..
Dan tenangkan juga hatiku agar redha dengannya..
tetapi ya Allah..
jika memang dia bukan yang baik untukku,
jauhkanlah aku dengannya..
Hapuskanlah pesonanya dari lubuk hatiku...

Aamiin Ya Rabbal 'Alamin...




BINGKISAN RINDU BUATMU

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM


Antara kita tiada rahsia
Susah dan senang tetap bersama
Terpatri namamu
Kau takkan kulupa

Sudah bertahun lama
Kita tidak lagi bersua
Hanya tinggal kenangan
Yang tak mungkin kita lupa


Kirimkan khabar selalu
Seiringan hembusan bayu
Sekadar pengubat rasa rindu dikalbu

Pantas masa berlalu
Meninggalkan kita semua
Tanpa disedari bertambahlah usia kita

Potret lama masih kusimpan
Kubingkaikan kenangan
Hingga terkadangku
Tersenyum sendirian


Perjalanan kita masih jauh
Jalanan berliku akan kita tempuh
Imbaslah kenangan semalam jadi azimat
Penguat semangat menempuh masa hadapan
Harapanku kau kan bahagia selalu

Padaku engkau penghibur duka
Pengubat hati resah kecewa
Dikala malamku kau bawa cahaya

Sematkanlah bingkisan rindu dikalbu


Saturday 26 January 2013

MENJEMPUT BIDADARI

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM


Kau menyah gelita.
Penenang dalam jiwa.
Ibarat matahari untuk dunia.
Dikau tiada ganti.
Aku ingin menjemputmu,
biar ada di sisi.
Namun, apakah benar kau untukku?
Itu tidak ku tahu.

"Mungkin."

Aku senyum. Namun hati sebenarnya sedang berdetak-detak. Bagaimana boleh melencong masuk ke bab kahwin ini? Salah putar sterengkah?

"Suka sangat dengan mungkin dia itu," dia mengerutkan dahi. Aku jadi pelik. Kenapa pula ada gaya merajuk semacam ini?

"Eh, cik kak, hidup ini memang penuh dengan kemungkinan. Mana tahu tak dapat buat. Hah, nanti kata saya mungkir janji," aku cuba berseloroh. Aku fikir itu akan menenangkan keadaan.

"Awak memang suka macam itu, bukan?" Dia memalingkan tubuh.

"Suka bagaimana? Orang Jepun?" Aku rasa pelik.

"Main-mainkan hati saya." Dia masih tidak memandangku.

Aku terdiam. 

* * *

Suasana bilik terlalu dingin. Sekarang musim sejuk. Maka keadaan aku yang berbungkus baju sejuk berlapis-lapis, memakai sarung tangan dan kaki juga berlapis-lapis, adalah keadaan biasa yang boleh dilihat ketika musim ini datang. 

"Kau memang tidak kisahkah?"

Munzir, sahabat serumahku, mencelah menungku. Aku menoleh. Kelihatan dia datang membawa bersama dua cawan. Aku agak ia berisi kopi campuran herba. Munzir memang peminat kopi popular itu. Di Jepun pun dia mesti dengan kopi campuran herbanya.

"Kau memang tidak kisahkah?"

Munzir meletakkan dua buah cawan itu di atas meja rendah. di tengah-tengah ruang tamu. Aku angkat kening. Kenapa tiba-tiba tidak kisah?

Munzir tersengih. "Kau jangan buat tidak faham. Kau tidak kisahkah dia kahwin?"

Aku mendekatkan diri ke meja. Aku tarik selimut tebal bagi menghangatkan lagi badan. Selepas itu, cawan berisi kopi campuran herba kugapai. Airnya kuhirup.  Hangat. Sedap.


"Hendak buat bagaimana? Aku pun tidak pernah cakap aku suka pada dia."

"Tapi kau sukakan dia, kan?" Munzir angkat kening sambil tersenyum. Ekspresi wajah dengan makna tersirat.

"Mungkin." Aku tersenyum. Munzir menjulingkan mata ke atas. 

"Mungkin dia lagi. Pening aku!" Dia mendengus. Aku ketawa. 

Aku tunduk memandang kopi campuran herba dalam cawan. "Aku syok sendiri." Kopi itu aku hirup. 

"Kenapa tidak cakap kau suka?"

"Sebab aku jauh ...... dan ....... ."

"Dan?" Munzir masih memandang aku. 'Dan' dari bibirnya itu semacam menekan untuk aku bersuara.

Aku menghela nafas.

"Aku tidak tahu dia suka aku atau tidak. Masa dengar dia hendak kahwin, rasanya dia tak ada perasaan pada aku."

Suasana senyap sebentar. 

"Kau bodohlah. Perkahwinan dia itu bukankah diatur oleh mak dan ayahnya? Mana kau tahu kalau dia suka atau tidak pada kau? Mana tahu kalau dia ada hati pada kau?" Munzir bersuara.

"Mungkin."

Munzir menghela nafas. Penat melayan ulahku. Aku meneruskan senyuman plastik.


* * *

Bolehkah kita menjadi penyambung? 
Menyambung dua hati manusia yang tak berhubung, 
seperti hujan menyambungkan langit dan bumi,
yang nyata terpisah dalam jarak yang realiti.

Sepi. Perpustakaan memang merupakan satu tempat yang sesuai untuk menghindari hiruk-pikuk kota. Rakyat Jepun memang rakyat yang baik, tetapi kotanya tetap sama seperti kota-kota lain di dunia. Sesak.

Aku membaca barisan haiku di dalam buku himpunan sajak negara Matahari Terbit itu. Kebelakangan ini, jiwa aku kurang tenteram. Jadi aku suka membaca bait-bait sajak yang sudah menjadi darah dagingku semenjak sekolah menengah. Namun, setelah menghabiskan hampir tiga jam di sini, aku tetap tidak dapat apa yang aku damba. Akhirnya aku terhenti pada bait sajak tentang hati. Rasa sakit yang tidak dapat aku tafsirkan, timbul semula.

"Oh, dia hendak jumpa?"
"Ya."
"Kenapa?"
"Tak tahu. Mungkin dia ada masalah."

Aku menghela nafas. Aku melihat dia sedang berjalan mendekati kami berdua. Dia membawa seorang teman. 

"Baiklah. Kau tunggu di sini, temankan aku." Aku menepuk bahu temanku itu. 
"Baik."

Aku melangkah mendekati wanita yang sedang merapati tempat aku berdiri tadi. Aku mengalihkan wajah ke arah luar bangunan. 

"Assalamualaikum." Lembut suara itu menyapa.
"Waalaikumussalam." Aku mengangkat tangan dengan gaya melambai. 

Dia tersenyum. Manis. Entah kenapa, hatiku berbunga. Tertarik juga segaris sengih di bibirku. 

"Kenapa sengih? Saya ada buat silapkah?"
"Mungkin." Aku bersahaja.
"Erm, awak memang suka cakap 'mungkin' ya?"
"Mungkin." Aku menjawab bersahaja. Dia tergelak kecil. Telapak tangan kanan menutup mulutnya. 

Bidadari... .

"Saya ada hal hendak cakap dengan awak." Dia bersuara.
"Pihak universiti meminta saya buat satu projek dan saya perlukan pembantu. Jadi saya rasa awak adalah orang yang paling sesuai untuk bantu saya. Boleh tolong?"

Riak wajahnya serius walaupun dia sedang tersenyum.

"Projek apa?" 
"Projek Bulan Mahabbah."
"Kenapa perlukan saya?"
"Sebab awak ini Pengerusi Kelab Pengurusan, bukan?"
"Mungkin."

Dia tertawa indah.

Kenangan lalu menyinggah. Aku menghela nafas. Semenjak hari itu, memang benar-benar aku mengenalinya. Projek itu memakan masa selama dua bulan. Sebulan untuk persediaan dan sebulan lagi semasa projek itu berjalan. Selama dua bulan itu jugalah aku benar-benar mengenalinya. Walaupun atas nama teman projek, aku tetap rasa bertuah, kerana aku sudah lama menyimpan hati terhadapnya.

Dia adalah bidadari. Suaranya lembut. Tutur katanya sopan. Wajahnya penyejuk kalbu. Tingkahnya beradab. Menutup aurat dan menjaga batas-batas syarak. Walaupun kuat merajuk, tetap menceriakan. Walaupun suka bergurau, masih tegar menjaga batasan. Aku rasa dia bukan wanita masa kini, tetapi dia adalah wanita abad lepas. Sungguh menarik hati. Seorang yang solehah. 

Aku selak lagi buku himpunan sajak Jepun. Namun hatiku telah tawar. Malah bait yang terakhir tadi seakan-akan mencabar diriku. Hujan dan diriku, kenapa hujan mampu dan aku tidak?

"Sebabnya dia pasti tiada perasaan terhadap aku." 

Itu jawapan yang selalu bergema di hati. Memang, kami tiada hubungan yang istimewa. Selepas projek itu, kami boleh dikatakan tidak berhubung langsung. Aku hanya melihatnya dari jauh. Dia pula hanya bercakap denganku semula semasa jamuan perpisahan sebelum aku menyambung pelajaran ke Jepun ini. 

"Nanti pergi ke Jepun seorang dirikah?"
"Erm, tidak."
"Pergi dengan siapa?"
"Munzir."
"Oh, Munzir yang genius dalam enjin itu?"
"Mungkin."

Dia ketawa kecil. Seperti biasa, tawanya sangat indah sehingga mampu mencabut tangkai jantungku. Aku segera melarikan wajah ke arah lain. 

"Kenapa tanya?"
"Iyalah, mana tahu pergi dengan buah hati."
"Oh! Mungkin cari orang Jepun. Orang Malaysia mana seronok."
"Serius?"
"Mungkin."
"Orang dakwah macam awak, minat juga dengan orang-orang cantik ya?"
"Eh, macam merajuk saja."
"Tak adalah. Bukankah dalam daurah yang lepas, awak cakap awak hendak kahwin dengan wanita yang juga faham dengan dakwah dan tarbiah."
"Ya, saya dakwahlah orang Jepun itu biar dia betul-betul faham tentang Islam, dakwah dan tarbiah." 
"Serius."
"Mungkin."

Aku senyum. Namun hati sebenarnya sedang berdetak-detak. Bagaimana boleh melencong masuk ke bab kahwin ini? Salah putar sterengkah? 

"Suka sangat dengan mungkin dia itu." dia mengerutkan dahi. Aku jadi pelik. Kenapa pula ada gaya merajuk semacam ini?

"Eh, cik kak, hidup ini memang penuh dengan kemungkinan. Mana tahu tak dapat buat. Hah, nanti kata saya mungkir janji," aku cuba berseloroh. Aku fikir itu akan menenagkan keadaan.
"Awak memang suka macam itu, bukan?" Dia memalingkan tubuh.
"Suka bagaimana? Orang Jepun? Aku rasa pelik.
"Main-mainkan hati saya ya?" Dia masih tidak memandangku. 

Aku terdiam.

Daripada sembang-sembang itu, Aku semacam dapat merasa bahawa dia ada hati dengan aku. Memandangkan aku hendak pergi jauh, aku tidak berani menyuarakan rasa hati aku pada dia. Tambahan, ibuku melarang keras untuk aku menyuarakan rasa cinta kepada orang lain sebelum habis belajar. Kata ibu, ia mungkin akan membawa kepada keburukan apabila sesuatu yang kita tidak sangka, seperti putus cinta dan sebagainya, terjadi. Akhirnya aku pergi tanpa berkata apa-apa. Jadilah aku seperti aku hari ini.


* * *

Aku bergerak keluar dari perpustakaan. Musim sejuk mengundang salji indah. Kristal kecil dari langit itu melata, menjadikan tanah Jepun ini putih dengan salji. Kiri dan kanan kota diselaputi salji. Rimbunan pohon juga berhias putih. Aku tiba di Jepun pada musim ini. Ketika itu memang agak jakun, namun sekarang suasana ini adalah normal, malah kadangkala aku tidak suka kerana leceh. Perlu pakai tebal-tebal dan sukar mengambil wuduk kerana terlalu sejuk. 

Aku sedar, aku di sini  bukan untuk melancong. Maka kesukaran menghadapi sesuatu bukanlah sesuatu yang  gemar aku rungutkan. Aku disini adalah untuk menimba ilmu, sambil usaha membuka peluang berdakwah kepada masyarakat Matahari Terbit yang majoritinya tidak mengenali  dan mengambil Islam sebagai cara hidup. Namun ia bukan semudah bahasa untuk diuntai, bukan seperti kacang yang terbuka kulitnya.

Masyarakat Jepun adalah masyarakat yang beradab, bertatasusila, menghormati orang lain dan berilmu. Kadar jenayah juga adalah rendah. Mereka benar-benar merupakan masyarakat yang jujur dan amanah. Bandar mereka yang bersih, rumah mereka yang bersih, benar-benar menggamit hati dan menyentuh jiwa. Dalam keadaan umat Islam sendiri tidak mengamalkan ajaran Islam, mereka jadi tidak tertarik kerana mereka tidak nampak keistimewaan Islam. Mereka yang tidak mengamalkan Islam itu jauh lebih baik dari segi adab dan tatasusila. Hal ini memang menyedihkan, tidak hairanlah kenapa Hassan al-Banna berusaha memperbaiki ummah. Kerana umat Islam sendiri menjadi fitnah kepada Islam yang syumul dan indah.

Benarlah kata-kata seorang ulama' :
"Islam hari ini, dikelambu umatnya sendiri."

Aku menghela nafas. Hampir dua tahun aku di sini. Berdua dengan sahabat karibku, Munzir. Berdua mengambil Master dan berdua jugalah dalam menjalankan pelbagai usaha dakwah. Kami berdua sudah mencuba pelbagai cara, namun memang sukar sungguh untuk membuka hati penduduk tanah Matahari Terbit ini. Kadang-kadang timbul rasa kecewa.

Namun mengingatkan sirah Rasulullah yang ku baca dalam Raheeq al-Makhtum, kenangan Sheikh Adil Shuwaikh dengan Muhammad Ahmad Ar-Rasyid, disuntik pula dengan perjuangan al-Banna, aku menyah kecewa dan putus asa daripada kamus dakwahku. Aku harus terus mengibarkan panji perjuangan.

Dakwah dan tarbiah. Itu darah dagingku. Berusaha mengajak manusia agar kembali mengambil Allah sebagai Rabb dan Ilah. Namun perjalanan di jalan ini bukan dibentangi permaidani merah. Malah seorang ulama berkata :
     "Jalan ini adalah jalan yang ditaburi dari yang terpacak.

"Issam-san, konichiwa."

Satu suara lembut mencelah. Menghentikan langkahku lalu memadamkan lamunan. Aku mengangkat wajah. Sayako, jiran sebelah, mengangkat tangan melambai. Tangan sebelahnya memegang bola sepak. Aku sengih sambil membalas lambaiannya. 

"Sayako-san, konichiwa." Ucapan selamat tengah hari itu juga ku balas dalam bahasanya. 

Dia mendekatiku. Di hati mula ada rasa tidak senang. Sayako adalah seorang perempuan yang cantik. Dia juga seorang pelakon drama Jepun. Dia seuniversiti dsenganku. Aku sebenarnya kurang senang kerana dia suka mendekatiku. Malah, kadangkala dia cuba menyentuhku. Aku memang berusaha untuk tidak bertembung dengannya, tetapi apakan daya, rumah kami bersebelahan. 

"Daigaku no guraundo de sakka wo yarun desukedo, sanka shinai?"

Dia mengajak aku bermain bola. Perempuan main bola? Isy, pelakon ini kadang-kadang pelik atau perempuan Jepun memang pelik?

No thanks, nemui."

Aku menolak lembut ajakannya dengan alasan mengantuk. Sayako tersenyum. Dia mengucapkan selamat tinggal dan menyatakan bahawa dia ingin mengajak aku keluar malam nanti. 

"Sorry, I've got work to do."

Aku memberikan alasan lagi. Sayako sekadar mengangguk lalu meninggalkan aku dengan senyuman. 
Huh, susah hidup ini!


* * *

"Kena usya?" Munzir bersuara sebaik sahaja aku memasuki rumah.
"Mungkin."

Aku menarik sengih. Munzir sudah tahu akan kebiasaan aku di sini. Walaupun dia berhadapan dengan komputer ribanya, dia masih dapat meneka dengan tepat. Munzir sekelas dengan Sayako, kursus kejuruteraan. Aku hormati Sayako dalam satu perkara. Walaupun dia seorang pelakon, dia masih mengambil berat tentang pelajarannya. Sesuatu yang patut dicontohi ramai selebriti di tanah airku, Malaysia.

Munzir tertawa sambil menumpukan wajahnya dengan komputer riba Apple-nya.

"Aku rasa kau kena jemput bidadari kau."

Aku menoleh ke arah Munzir. Kening aku terangkat.

"Jemput bidadari? Bidadari mana, Munzir? Kena jemput pula. Macam sudah ada saja."

Munzir berpusing di kerusi. Dia tersengih. "Ya, jemput, sebab bidadari kau sedang menunggu."

Aku mengerutkan dahi. Munzir pula tersenyum penuh rahsia.

"Mana kau tahu bidadari aku sedang tunggu?Bidadari aku beritahu kaukah?" Aku membalas. Aku kira dia berseloroh sahaja. Bidadari apa tengah hari buta di Jepun ini. Kena serang angin sejukkah kawan aku seorang ini?

"Mungkin." Dua kali dia mengangkat kening. Meniru gaya 'mungkin' aku yang popular. Wajah Munzir mencurigakan hatiku.

"Aku pun tak kenal bidadari aku yang mana satu. Kau boleh kata dia tunggu aku pula." Aku melangkah ke bilik.

"Kau tak kenal?" Munzir melaung sambil ketawa.

Aku menggeleng. Terus masuk ke bilik.

Sebaik sahaja pintu bilik tertutup, hatiku berdetak-detup. Menjemput 'bidadari'? Bidadari sedang menunggu? Kau sakitkah, Munzir?
Atau aku yang sakit?


* * *

"Ya Allah, hambaMu ini sedang sakit. Maka aku kembali kepadaMu, mengadu tentang sakitnya hati ini. Aku menyukai salah seorang daripada hambaMu, hatiku sudah dicuri olehnya. Aku benar-benar cinta kepadanya. Aku rasa aku mencintainya hanya keranaMu. Bagiku, dia boleh menjadi teman untuk aku menuju ke arahMu, untukku memikull tanggungjawab dakwah yang Engkau berikan kepadaku dan tanggungjawab tarbiah untuk diriku. 

"Rabbi, andai aku ada teman yang lebih hebat daripadaMu, nyata aku akan pergi ke arahnya, tetapi Kau adalah satu-satunya Ilah. Kau memahamiku lebih daripada aku memahami diriku sendiri. Kau tahu siapa hambaMu ini, ya Allah, maka aku memohon kepadaMu. Berikan aku jalan keluar daripada kesakitan ini. Aku dengar dia hendak berkahwin, sepatutnya aku rasa gembira atas kegembiraannya, tetapi, mengapa hatiku sakit seakan-akan dia juga turut menangis?

"Ya Rabb, kasihanilah aku. Pertemukan aku dengan wanita yang Kau janjikan untukku. Berikanlah aku isteri yang solehah, mujahidah, barakah dan menyejukkan mataku memandangnya. Ya Rabb, Kaulah satu-satunya Pemakbul do'a. Kau nyatakan dalam kalamMu betapa kau amat dekat, maka kasihanilah aku. Kasihanilah aku. Aku memohon belasMu untuk meniti hidup ini"

Doaku di hujung malam sejuk. Mujur air mata yang meleleh tidak membeku. Tidak pernah ku sebut orang yang ku sukai apabila mengadu kepada Allah kerana aku tidak jatuh cinta kepada manusia, tetapi terhadap keperibadiannya. Aku sering berdoa kepada Allah agar aku dipertemukan dengan peribadi yang aku suka dan Allah redha. 

Namun kenapa hati ini masih sakit?


* * *

Aku semacam tidak percaya.
Aku menggosokkan mata seperti orang b***h. Memastikan yang aku benar-benar melihatnya. Matanya pula tajam memandangku. Di tengah-tengah bandar Shibuya ini, mengapa dia boleh muncul?

"Asyraff!" Aku menjerit. 
"Issam!" Dia pula menjerit. Sahabatku, Asyraff berlari mendapatkanku. 

Kami berpelukan. Sahabat karib di universiti lama. 

"Kenapa dalam banyak-banyak tempat di dunia, di Festival Komik Sedunia ini jugalah aku jumpa kau?" Aku menolak tubuhnya.
"Kau pun sama. Minat dengan komik lagi, ya? Tidak sedar diri sudah tua bangka." Asyraff menumbuk perlahan dadaku.
"Wei, kau pun sama!" Aku meniru perbuatannya.
"Wei, aku lain. Aku kartunis. Kartunislah." Dia menepuk-nepuk dada.
Aku menepuk dahi, teringatkan sesuatu. "Ya, betul juga. Oh, kau dah jadi kartunis, ya?"
"Komik baru aku meletup! Sekarang ini aku orang popular lagi kaya di Malaysia." Asyraff bersuara bangga. Dengan ekspresi wajah yang kelakar, kata-katanya mengundang tawa.
"Hoi, kau ketawa, kenapa? Tak percaya?"
"Mungkin." Aku menahan tawa.
"Kau tidak berubah, ya, lurus saja dengan 'mungkin' kau itu."
Aku menarik sengih. "Em, tajuk apa komik kau? Cerita pasal apa?"
"Kau gerenti terkejut biawak punya."
"Kenapa?" Aku jadi teruja.

Asyraff menarik sesuatu daripada begnya.

"Tadaa!"
Sebuah buku didekatkan pada wajahku.
Gambar hadapannya ... .
"Solehah."

Dia menarik buku itu sambil tersenyum nakal. Menyebut nama perempuan yang menjadi model kulit hadapannya.

"Kenapa dia jadi cover komik kau?"
"Habis, aku ambil nama dia jadi tajuk. Sebenarnya, kau pun ada saham dalam komik aku ini."

Aku mula rasa tidak seronok. Sepanjang berada di sini, Aku langsung tidak membawa gambar Solehah, walaupun aku asyik terbayangkan wajahnya. Aku sering menyatakan pada diriku bahawa dia mungkin sudah berubah, tetapi apabila melihat gambar kulit depan komik Asyraff, hatiku terusik. Dia masih lawa, malah lebih menawan. Masih seorang bidadari seperti dahulu. 

"Kenapa aku ada saham pula?" Aku cuba menyisihkan rasa dalam hati. Sudahlah Asyraff, dia milik orang sekarang!
"Sebab aku ambil cerita kau dengan Solehahlah."
"Oh, ini kisah sedih, ya. Hero tinggalkan heroin dalam keadaan dua-dua tidak luahkan apa-apa. Lepas itu heroin kahwin dengan orang lain." Aku cuba berseloroh walaupun pahit untuk ku sebut. 
"Apa? Heroin kahwin lain? Kau gilakah?" Asyraff tolak aku dengan kuat.Aku terdorong sedikit ke belakang.
"Kenapa?" AKu bertanya. Pelik. Bukankah itu penamat kisah aku dengan Solehah?
"Wei, Solehah sanggup tolak perkahwinan dengan orang kenamaan yang diaturkan oleh bapanya baru-baru ini, tahu? Kawan-kawan perempuan kita kata, semuanya sebab dia tunggu kau. Kau kata dia kahwin lain? Apa ini?"

Mata Asyraff seakan api yang membakar. Aku berkerut dahi.

"Apa dia?"
"Dia tunggu kau! Kau tidak tahu?"

Dia tunggu aku?

"Aku rasa kau kena jemput bidadari kau." Kata-kata munzir minggu lepas.

"Kau tidak tahu?"

Aku berfikir sejenak. Sungguh aku tidak menyangka. Adakah aku akan membiarkan sahaja?
Teringat doa-doa istikharahku. Mungkinkah ini jawapannya?

"Bila kau balik ke Malaysia?" Aku bertanya dengan nada tergesa-gesa.
"Esok."
"Aku balik dengan kau."


* * *

"Assalamualaikum."
"Waalaikumussa... ."

Suara lembut itu terhenti. Aku sekadar memandang dari luar pagar melihat wajah seorang perempuan beriak terkejut apabila melihatku. Seperti melihat raksasa yang menyerang Jepun sebelum dikalahkan Ultraman.

"Issam?" Dia bersuara tidak percaya. Namun aku lihat dia tetap keluar. Mungkin untuk kepastian.
"Mungkin." Aku menjawab selamba walaupun hati seperti dilontari bunga api semasa pesta keraian. Kenapa dia boleh ada di rumah? Alamak!

Kami dipisahkan oleh pagar.

"Lamanya tak jumpa awak."

Dia bersuara sambil memandangku. Aku jadi segan. Pantas membuang pandangan ke arah lain.

"Kenapa datang?" Dia bertanya pelik.

Iyalah, aku bukan saudara-mara dia. Aku mula berkira-kira sama ada mahu meneruskan rancangan aku atau tidak. Terus atau tidak? Hati aku nekad. Terus!

"Ayah dan ibu, ada?" Hatiku berdegup-degup.

Wajah indah Solehah berkerut. "Ada. Kenapa?"

Degupan di hati semakin kencang. Aku cuba bertenang dengan berzikir. Aku hampir terlepas bidadariku sekali dan aku tidak mahu ada kali kedua.

"Sebab... " Aku cuba bersuara, tapi tiada bicara yang sukar aku tafsirkan.

"Sebab?" Dia mengulangi 'sebab' dalam nada pertanyaan.

Aku menarik nafas. Ya Allah, Kaulah yang menggerakan kakiku ke sini, maka kuatkanlah hatiku.

"Sebab saya mahu menjemput bidadari saya."

Aku menjawab yakin.

Suasana hening sebentar.

Titisan permata meleleh di pipi Solehah. Dia berlari anak masuk ke dalam rumah. Pintu pagar terbuka secara automatik. Daripada riak wajah dan bicaranya itu, aku tafsirkan sebagai, 'ya, jemputlah saya.'

"Masuklah, ayah dan ibu ada di ruang tamu."

Ya Allah, Alhamdulillahi kathira.

Dalam langkahan memasuki rumah itu, air mata ku merembes. Air mata gembira kerana aku tidak terlepas menjemput bidadari hatiku sekali lagi. Aku juga akan menjadi lebih baik daripada hujan yang menghubungkan langit dan bumi yang sementara sifatnya, tetapi aku menghubungkan hatiku dengan hati bidadariku selama-lamanya hingga ke syurga. Insya-Allah. Ya Allah, rahmatilah aku.


~ MENJEMPUT BIDADARI ~

Bila yakin telah tiba,
teguh dalam jiwa,
kesabaran menjadi bunga.

Sementara waktu berlalu,
penantian tidak bererti sia-sia,
saat perjalanan adalah pencarian diri.

Laksana Zulaikha jalani hari, 
sabar menanti Yusuf sang tambatan hati,
dalam penantian mencari diri,
memohon ampunan dipertemukan.

Segera kujemput engkau bidadari,
apabila tiba waktu kutemukan aku, 
Ya Ilahi Rabbi, keras kumencari diri sepenuh hati.

Teguhkanlah langkah ini, 
dalam penantian hakikat diri,
izinkan kujemput bidadari,
untuk bersama menuju-Mu sepenuh hati.

Kini yakin telah tiba,
teguh dalam jiwa, 
kesabaran adalah permata.

Dan waktu terus berlalu,
penantian tidak bererti sia-sia,
saat perjalanan adalah pencarian diri.

Laksana Adam dan Hawa,
turun ke bumi terpisah jarak dan waktu,
dalam penantian mencari diri,
memohon ampunan dipertemukan.

Bidadari telah menyentuh hati,
teguhkan nurani,
Bidadari telah menyapa jiwa,
memberikan makna.


Dipetik daripada buku Matahari nukilan Hilal Asyraf
SrikandiAdawiyah










  













Wednesday 23 January 2013

CINTA RASULULLAH KEPADA KITA

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM



S: Kenapa orang selalu mengingati hari kelahiran Rasulullah SAW, dan jarang sekali ada majlis mengingati hari kewafatan baginda?

J: Kerana kita mahu merasakan Rasulullah SAW itu sentiasa hidup di dalam kehidupan kita.
 

* * *


Cinta Nabi Muhammad kepada kita
Rasulullah SAW telah menghiasi hidupnya dengan warna-warna cinta dan kasih sayang. Baginda telah mencorakkan perjalanan hidupnya dengan perjuangan dan pengorbanan demi cinta kasihnya. Cinta dan kasih sayang yang tidak ternilai dan di luar jangkaan manusia biasa. Sekiranya kita menelusuri perjalanan hidup baginda serta menghayati setiap degupan nadi kehidupannya, kita akan lihat gambaran wajah kasih sayang yang terlalu mendalam serta cinta yang tidak berpenghujung pada umatnya. Kasih baginda tak pernah padam hinggalah suatu pagi, pagi yang bersejarah, pagi yang suram dan penuh dengan kedukaan...

Pagi itu, walaupun langit mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayapnya. Pagi itu, Rasulullah SAW dengan suara yang tersekat-sekat memberikan khutbah : "Wahai umatku, kita semuanya dalam kekuasaan Allah dan cinta kasihNya. Maka taati dan bertaqwalah kepadaNya." Kemudian, Rasulullah SAW memandang satu persatu sahabat-sahabat baginda (Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali). Ini tandanya Rasulullah SAW akan tinggalkan kita semuanya, bisik hati sahabat-sahabat baginda. Mereka teramat sedih. Seorang sahabat yang sejati dan kekasih Allah SWT akan meninggalkan mereka. Bergenang air mata para sahabat.  

Ketika Rasulullah SAW berada di rumah. Waktu itu muncul secara tiba-tiba seseorang mengucapkan salam. Kemudian ia berkata, "Bolehkah saya masuk?" Ia meminta izin untuk masuk. Akan tetapi, Fatimah binti Muhammad tidak membenarkan dirinya masuk. Beliau tidak mengizinkan orang itu untuk masuk sambil berkata dengan lemah lembutnya, "Maafkan saya, Anda tidak boleh masuk ke dalam kerana ayah saya kebetulan sedang sakit." Fatimah kemudian berpaling dan menutup pintu dari dalam rumah. Fatimah kembali ke pembaringan di mana ayahnya sedang terbaring sakit. Ayahnya yang tercinta membuka matanya dan bertanya kepada Fatimah, "Siapa tadi, wahai anakku?" "Aku tidak tahu, ayah. Ini kali pertama aku bertemu dengannya, ayah." Fatimah menjawab dengan lembutnya. Kemudian Rasulullah SAW menatap wajah puterinya itu dengan tatapan bergetar seolah-olah ia hendak mengingat-ingat setiap lekuk wajah puterinya itu. "Ketahuilah satu hal anakku! Dialah yang akan menghilangkan semua kesenangan yang fana ini. Dialah yang hendak memisahkan hubungan kekerabatan dan pertemanan di dunia ini. Dialah malaikat pencabut nyawa." Rasulullah menjelaskan pada puterinya. 


Demi mendengar itu, Fatimah terhenyak seolah-olah mendengarkan sebuah bom yang diledakkan di dekatnya. Tangisan Fatimah meledak. Ia menangis tersedu-sedu dan tidak pernah tangisan dirinya itu, sepilu dan sepedih itu. Rasulullah kemudian menyuruh puterinya itu untuk mempersilakan masuk sang malaikat pencabut nyawa itu. Kemudian ia masuk ke rumah. Malaikat pencabut nyawa (Izrail) datang menuju tempat di mana jasad Rasulullah terbaring lemah. Rasulullah bertanya, mengapa Jibril tidak datang bersama dengannya. Kemudian Jibril pun dipanggil dan datang. Jibril telah siap menyambut kedatangan Rasulullah di langit. Jibril sudah siap menyambut roh kekasih Allah yang pernah memimpin dunia dengan keadilan, kebenaran dan penuh kelembutan.

"Wahai Jibril. Jelaskanlah kepadaku apa hak-hak yang akan aku dapat daripada Allah?" Rasulullah bertanya kepada Jibril dengan nada bicara yang sangat lemah.

Maka Jibril pun menjawab, "Pintu-pintu langit akan terbuka dan para malaikat akan berbaris rapi menyambut kedatangan roh sucimu. Syurga akan memanggil-manggilmu dan tidak sabar akan kedatanganmu." Jibril berkata. 

Semua perkataan Jibril itu seolah-olah sama sekali tidak membuat Rasulullah tenang kerana masih terlihat kedua mata Rasulullah menyimpan sesuatu yang khuatir yang sangat mendalam. "Tuanku, apakah engkau tidak berbahagia dengan berita ini?" Tanya Jibril. 

"Ceritakan kepadaku nasib dari umatku nanti di masa yang akan datang!" kata Rasulullah. 
"Janganlah engkau khuatir, tuanku, ya Rasulullah! Aku telah mendengar allah berfirman, : "Aku akan haramkan syurga untuk setiap orang kecuali setelah umat Muhammad masuk ke dalamnya." Jibril cuba menenagkan.

Waktu merambat makin dekat dan makin dekat. Waktu untuk mencabut roh sang kekasih Allah semakin dekat. Izrail sebentar lagi akan menunaikan tugasnya. Dengan perlahan dan hati-hati roh Nabi ditarik. Tubuh Rasulullah mulai mencucurkan keringat. Urat lehernya menegang. "Jibril, ternyata yang namanya sakaratul maut itu sakit sekali." Rasulullah berkata dengan gumaman lemah.


Fatimah, puteri Rasulullah menutup kedua matanya menahan kesedihan yang teramat sangat. Saidina Ali duduk dekat dengan Fatimah, menundukkan kepalanya dalam-dalam. Sementara itu, Jibril memalingkan mukanya tidak kuat melihat pemandangan yang sangat mengharukan itu.

"Apakah aku tampak menjijikkan bagimu wahai Jibril, sehingga engkau memalingkan wajahmu dariku?" Rasulullah bertanya kepada sang penyampai wahyu.
"Siapakah gerangan orang yang sanggup dan kuat melihat kekasih Allah sedang menghadapi sakaratul maut. Oleh kerana itu aku memalingkan wajahku darimu. wahai tuanku." Jibril berkata. 

Tidak berapa lama berselang, Rasulullah mengeluarkan suara dari tenggorokkannya kerana rasa sakit yang amat sangat.

"Ya Allah. Betapa sakitnya sakaratul maut ini. Berikanlah rasa sakit ini kepadaku semuanya dan jangan berikan sedikitpun kepada umatku." Tubuh Rasulullah kemudian terasa dingin, kedua kaki dan dadanya tidak bisa lagi digerakkan. Bibir mulia baginda bergetar seolah-olah ingin mengutarakan sesuatu. Saidina Ali mendekatkan telinganya ke arah mulut Rasulullah yang suci. Rasulullah berbisik, "Ushiikum bis solati, wa maa malakat aimanuku." ( Jagalah solat dan urusilah urusan orang-orang lemah yang ada di sekitarmu )

Di luar ruangan terdengar tangisan sahut menyahut, tangisan yang satu disusul oleh tangisan uang lain. Lebih keras dan lebih keras. Para sahabat Nabi saling berpegangan tangan satu sama lain seolah-olah ingin memperkuat dan menghibur hati sahabatnya yang lain. Fatimah binti Muhammad, puteri Nabi, menutupi wajahnya yang basah dengan air mata yang bercucuran sejak tadi. Saidina Ali sekali lagi mendekatkan telinganya dekat ke mulut Rasulullah yang sekarang sudah tampak membiru.

"Ummati, ummati, ummati." ( Ummatku, ummatku, ummatku ). Setelah mengucapkan kalimat itu, Rasulullah pun berangkat menuju kekasihnya ( Allah SWT ) dengan tenang. Innalillahiwainnailayhiroji'un.


* * *

"Hidupkan Rasulullah dalam dirimu nescaya kamu akan terjaga dari melakukan perbuatan yang tidak elok kerana takkan sanggup kamu lakukan perkara buruk sedangkan Rasulullah wujud dalam hati kamu..."

DAPATKAH KAMI MEMBALAS CINTAMU 
WAHAI KEKASIHKU, NABI MUHAMMAD SAW?


maulidurrasul1434H
srikandiadawiyah