CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
islam 4 all

Saturday 18 February 2012

PERENCAH BISMILLAH

Hidangan Untuk Suami


aku ingin belajar ilmu rumah tangga dengan cepat. aku perlukan sesuaikan diri dengan hidup baru sebagai seorang isteri. tiada alasan bagiku walaupun masih bergelar pelajar sarjana. aku takkan biarkan kesibukan harianku menghalangku daripada melakukan tugas di dapur. tak sedap hati rasanya melihat suami makan di kedai dengan air tangan orang. begitu juga, tak sampai hati pula nak menyediakan lauk "tunjuk-tunjuk" untuk hidangan orang tersayang. aku ingin pastikan makanan suamiku bersih, dimulakan penyediaannya dengan Bismillah, diiringi selawat serta kalimah-kalimah memuji Allah agar ia penuh berkat lagi berkhasiat. 
ku capai buku resipi. bila ku belek... terlopong mulutku melihat apa yang tertera. tulisan tangan si dia memenuhi ruangan. perkataan "syangku" membuat jiwa terhibur, ditambah pula dengan lukisan berbentuk hati yang melatari tulisannya. semangat untuk memasak lantas melonjak.
"ouch! Allahuakbar!" tanganku terpercik minyak panas. ketika itu, aku sedang menggoreng ikan merah. serba tak kena. maklumlah, masih baru. aku beralih tugas untuk memotong sayur. "aduh!" tanganku pula terluka.
aku bergegas menyelesaikan semua tugasan. sekejap membasuh pinggan, sekejap menumbuk sambal, sekejap memasak air, sekejap 'pranggggggg'.... memecahkan gelas. sesekali aku menjeling jam. aku ingin bersaing dengan masa. aku ingin pastikan tempoh masakanku ini mengambil masa sejam sahaja. tidak lebih daripada itu. kurang tak apa.

setiap kali menghidangkan masakan untuk suami, setiap kali itu pulalah aku berdebar. resepi hari ini, ikan masak masam manis dan sayur kailan menjadi menu utama. ringkas sahaja.

"entah sedap ke tidak," hatiku gelisah. kusapu peluh yang memercik di dahi. kupujuk hati sendiri. yang penting, air tanganku mengalir di dalamnya sebagai penambah perisa, penambat cinta. tak ketinggalan juga, turut ku titipkan hembusan doa pengasih ajaran Rasulullah SAW.


~ ya Allah jadikanlah hamba-Mu ini menyintai orang yang beriman dan jadikanlah orang yang beriman menyintaiku.~

kemudian, aku berlari ke bilik air. aku mandi membersihkan diri. setelah itu aku berhias secantik mungkin. ku kenakan sepasang pakaian, eksklusif, hanya untuk tatapan suamiku. takkan sesekali aku biarkan lelaki lain melihatku dengan pakaian itu. hanya untukmu wahai suamiku!

aku juga tidak lupa berhias. rambut ku dandan rapi. bedak disapu ke pipi. celak membingkai mata. pelembap bibir ku oles rata. siap. aku ingin menjadi bidadari tercantik di hadapan matanya dengan diriku seadanya.

tatkala kedengaran deruan enjin keretanya, debaranku kian memuncak. aku berlari ke pintu. ku sambut dengan senyuman dan ciuman. ku pimpin tangannya ke meja makan ku tarikkan kerusi untuknya dan dia pun duduk dengan wajah manis.

"abang, sayang masih belajar masak. tak mampu nak masak sedap. sayang hanya mampu letak perencah bismillah dan tawakal saja," ujarku.


bagi abang, telur hangit yang sayang masak di rumah lebih sedap daripada nasi beriani yang dibeli di kedai." jawapannya sungguh bermakna bagiku. lega rasanya. pelbagai perasaan yang tadinya bergelodak kembali tenteram dan pada saat itu juga azamku makin membara untuk memasak yang terbaik. memilih yang halal, memastikan gizi seimbang di samping mengelakkan monosodium glutamate serta kandungan kolestrol dan garam berlebihan. ku pastikan juga agar suamiku tidak mengambil minuman manis berlebihan untuk mengelakkan risiko penyakit diabetes..

suamiku membuka sajian. aku makin berdebar.

"subhanallah!" ungkap suamiku. pandai sungguh dia menunjukkan mimik muka teruja untuk meraikan masakanku. sungguh aku benar-benar rasa diraikan setelah mengaminkan doa bersama-sama, dia menyuapku, aku menyuapnya. dia makan dengan ekspresi wajah penuh berselera. entah kerana sedap entah sengaja mahu mengambil hati, tak ku pasti. aku menelan liur. tergamam dengan caranya meraikanku. masya-Allah, baiknya suamiku!

dua puluh minit selepas makan, barulah aku menghulurkan air minuman untuknya. selang waktu itu kami isikan dengan berkongsi cerita dan bergurau senda. khabarnya cara begitu lebih baik untuk kesihatan. suamiku menyambut huluran gelas. dia tidak segera minum sebaliknya memerhatikan aku minum dari gelas yang berbeza.

"abang nak gelas sayang." pintanya, lalu ku hulurkan gelas yang di tanganku kepadanya.

"abang nak minum dari tempat sayang letakkan bibir," kata suamiku seiring perilaku. sungguh terhibur hatiku mengenangkan sirah Rasulullah SAW minum dari tempat Aisyah r.a. meletakkan bibirnya. Masya-Allah, kini kami sedang mempraktikkannya!

air tangan isteri,
petua menakluki hati suami